Berbanding sesetengah kumpulan, kumpulan Search ternyata bertahan selama 35 tahun ekoran setiap seorang berperanan menjaga baik hubungan sesama anggotanya.
Band yang ditubuhkan sejak 1981 itu pernah melalui pasang surut dan suka duka dalam industri namun momentum Search sebagai sebuah kumpulan dilihat tidak pernah gagal.
Situasi itu boleh dilihat apabila Konsert Ulang Tahun Ke-35 Search pada 9 April ini menyediakan segmen khas buat pemain dram mereka Yazid Ahmad.
Yazid, 54, menderita masalah buah pinggang dan pernah terlantar di Hospital Ampang kerana sakit pada Ogos tahun lalu.
Dan malam tadi, Yazid - meskipun badannya kelihatan susut dan bertongkat untuk berjalan - hadir bersama-sama menjayakan sidang media pengumuman konsert berkenaan di Subang.
Bila ditanya mengenai perasaan tidak dapat beraksi lagi sepenuh masa di atas pentas, ini jawapan Yazid: "Saya masih hendak berkarya. Belum tiba masa untuk melepaskan peranan saya sebagai pemain dram dalam Search."
Membuktikan kesungguhan dan semangatnya, Yadiz berkata , beliau memikirkan kumpulan legenda itu pada setiap malam kerana di situlah perjuangannya berlangsung selama ini.
No comments:
Post a Comment